Saturday, February 25, 2012

Pengembaraan Ke Parapat - Day 1 (18hb Feb 2012)

Aku dan dua orang kakakku bertolak ke KL pada hari jumaat petang (setelah semua urusan selesai), kami menuju ke Bukit Mahkota rumah sahabat baik kami, Ain. Sampai disana, Ain telah menyediakan parking kereta untuk memuatkan kenderaan kami yang bakal dijaga oleh Ain. Tidur semalaman di rumah Ain amat penting untuk menjana tenaga aku yang memang penat minggu sebelumnya kerana aku tidak cukup tidur. Alhamdullillah, terasa nikmat bila bangun keesokan harinya.. Walaupun telah mengetahui terlebih awal jadual penerbangan kami yang sepatutnya jam 11 pagi telah ditunda ke jam 2 petang, namun aku tetap mengajak Ain bertolak lebih awal ke LCCT untuk sarapan pagi disana.

Tempat yang menjadi kegemaran aku bila berada di LCCT ialah restoran Marrybrown, kelihatan dalam gambar ialah sarapan pagi kakak ku - De.




Haha.. gelaran jutawan Ibu-ibu ya....





Setelah Cik Dah, Manira, Ja dan Teh sampai, aku mencuba menggunakan teknologi Mobile Check-In, wah! begitu mudah sekali rupanya. Setelah mendapat tiket penerbangan, kami menuju ke Gate berlepas.



Seperti biasa, kak De aku memang suka akan buku-buku, dan kami amat menggemari buku nukilan Judith McNaught. Kebetulan disini ada dijual, apa lagi, sudah tentu ringan tangan Kak De membeli.... haha



Wajah ceria Cik Dah, Ja, Teh dan Manira! Namun, penerbangan Air-Asia kami tunda lagi kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan. Aku cuma berdoa, tidaklah selewat mana..



(Phew!) cuma lewat 30 min sahaja, lega...



Inilah penerbangan Air Asia kami...



Kak Ngah dan Kak De, yang cuma duduk dibelakang aku sahaja..



Ja dan Cik Dah, kerusi yang kosong ini sebenarnya milik Ina yang tidak dapat menyertai kami kerana kesukaran untuk bercuti.



Medan! here we come! Yeay!




Selama sejam penerbangan, kami tiba di Polonia Airport Medan. Agak kecil bukan?



Dan tempat bagasi pun lebih kecil daripada LCCT, ianya tidak berputar dalam 1 pusingan pun, jika terlambat alamatnya jatuh bergolekla beg anda.. Sampai di Airport, sudah ada porter menunggu kami untuk bertemu dengan pemandu pelancong kami yang tidak dibenarkan masuk ke kawasan Airport. Kami menunaikan solat dahulu sebelum bergerak keluar daripada Airport. Perkataan baru yang aku pelajari di Airport ini ialah "3 kurang 20" bermaksud jam menunjukkan 2:40pm. Porter kami membawa kami bertemu dengan pemandu pelancong kami iaitu Sandro di kawasan parking.



Oleh kerana kami lambat sampai, rancangan asal untuk ke Istana Maimoon terpaksa ditunda ke hari ketiga kami di Medan. Sandro membawa kami terus ke restoran untuk makan tengahari. Dalam keadaan perut yang amat lapar, dan hidangan minang yang cukup banyak dan enak ini, kami memulakan menjamu selera. Siapa sangka aku yang tidak menggemari hidangan minang boleh berselera kali ini, gara-gara penangan ayam goreng berempah yang cukup sedap sekali! haha



Seronok masing-masing menjamu selera.. hehe.. makan kenyang-kenyang ye.. kerana selepas ini akan terus menuju ke Parapat.. Aku tidak sabar menuju ke Parapat kerana disitulah terdapatnya Tasik yang terbesar sekali iaitu Tasik Danau Toba. Tasik yang terhasil setelah Allah swt turunkan bencana letusan gunung berapi, setelah itu Allah swt berikan pula keindahan panorama yang menjadi bual bicara setiap yang singgah ke Danau Toba. Diberitakan oleh Sandro, Parapat mempunyai ketinggian 600 meter dari aras laut, jadi bilik hotel kami tidak disediakan air-cond. Aku sudahpun membayangkan bakal berdepan dengan kesejukan...



Berhampiran dengan meja makan kami terpampang papan tanda ini. Rupa-rupanya maksud "karyawan" ialah pekerja. :)



Inilah restoran di Medan yang menawarkan ayam pop yang aku katakan sedap tadi..



Seperti biasa aku sukakan pemandangan dan amat menggemari dunia fotografi (bilalah nak beli kamera DLSR ni huhu), aku akan mengambil gambar apa sahaja yang terlintas difikiran aku untuk menulis. Ini ialah kenderaan yang di panggil "tut-tut" atau "tet-tet" bergantung kepada jenis hon kenderaan tersebut. Agak mengelirukan juga ye. Tambang seorang untuk menaiki Tet-tet ini ialah 3000Rp. Kenderaan ini ibarat bas kalau di Malaysia.



Ini pula maksudnya "dont stop", jangan berhenti disini.



"Sepeda" - maksudnya motor.



Ini pula gambar dalam Van yang dipandu Sandro menuju ke Parapat. Kelihatan di belakang Cik Dah lena dibuai mimpi.. hahah.. Cik Dah ooii! mimpi berenang kat Tasik Danau Toba dah ke... hahah..



Trafik di sepanjang jalan memang agak mengerikan sebab sentiasa penuh dengan kenderaan, dan laluan yang agak sempit (1 lane sahaja), namun aku akui, pujian harus diberikan, kerana tahap toleransi yang tinggi dikalangan pemandu kenderaan di sini. Bunyi hon bukan menandakan "Woi! buta ke" atau "Woi! tak nampak ke" tapi lebih kepada "Tumpang lalu ye" atau "hati-hati ye" Kalau yang tak biasa sudah pasti akan gerun dengan pemanduan begini, tapi dek kerana aku mempunyai pengalaman trafik yang suka hati ini seperti di HCMC, maka aku berasa biasa sahaja.. tak mengapa insuran ada... heheh



Aku meluahkan sedikit kekecewaan kepada Sandro jika kami tidak sempat singgah di Siantar ke kedai Teng-Teng ini, kerana dalam mana-mana blog yang aku baca, sudah pasti ini antara tempat popular yang dituju. Kedai sudah hampir hendak ditutup sewaktu kami sampai. Sebaik melihat kelibat kami, kedai dibuka semula (yeay!) Perniagaan berasaskan kacang yang ditumbuk untuk menjadi manisan milik penuh warga berbangsa Cina ini, tetapi yang membuatkan aku yakin untuk membeli kerana segala proses pembuatan barangan makanan ini, di buat oleh pekerja indonesia berbangsa Jawa. InsyaAllah Halal ye..




Ada yang memanggil Teng-Teng, ada yang memanggil Tong-Tong, atau ada yang memanggil Pong-Pong, Whateva! janji sedap! Harga satu bekas 17,500Rp. Sebelum sampai ke Parapat, kami singgah untuk membeli sim kad indonesia - SimPATI. Agak murah juga, dengan belanja hanya 37,000Rp aku boleh bersembang agak lama dengan adik bertanya khabar keadaan Mak dirumah.



Sebaik sampai di Parapat, yang memakan masa 5 jam perjalanan memang memenatkan badan aku. Aku agak ragu-ragu dengan status halal Parapat ini, kerana ini merupakan kawasan Batak. Dan seperti yang kita sedia maklum kaum Batak bukanlah Muslim semuanya. Jadi aku cuma menjamah ikan dan nasi sahaja. Lagipun aku terlalu penat untuk terasa lapar.



Hotel kami ialah Danau Toba Heritage..



Selesai solat Maghrib dan Isyak (secara jamak), dan jam pun sudah menunjukkan pukul 12am waktu Indonesia (jam 11pm waktu Malaysia), Aku terus beradu dalam suasana kesejukan yang menggigit tulang temulang aku yang sememangnya alah kepada cuaca sejuk di Parapat. Selamat malam semua! kita bertemu di hari kedua pengembaraan kami!

Friday, February 24, 2012

Pengembaraan ke Medan (18/2/2012-21/2/2012)

Tahun 2012 membawa aku dan rakan-rakan meneroka Medan, Indonesia. Kali ini kami pergi bertujuh (aku, dua orang kakakku, Cik Dah, Teh, Manira dan Ja). Ini merupakan kali pertama buat dua orang kakakku dan kali pertama buat Manira dan Ja mengikuti pengembaraan bersama aku, Cik Dah dan Teh.

Kami membeli tiket pada april 2011 yang lalu, seperti biasa bila ada Air Asia Sale, kami mula membuat perancangan kemana kami untuk 2012. Akhirnya kata sepakat dicapai, Medan adalah destinasi kami! Agak seronok kali ini, kerana kakakku meraikan harijadi dengan trip melancong ke Medan (Happy Birthday, Sis)!

Aku sudah lama menyimpan angan-angan untuk melihat sendiri ciptaan Ilahi - Tasik Danau Toba, sudah lama memendam dendam untuk sampai ke Brastagi (aku terlepas peluang ke Brastagi untuk Kejohanan Catur Remaja Asia Bawah 16 Tahun pada tahun 1991) dan merasa sendiri pengalaman baru di Sumatra Utara.

Jadi bila hampir ke bulan Februari, aku membuat kaji selidik, membaca blog-blog mereka yang pernah ke Medan, semata-mata untuk membuat jadual perjalanan sepanjang-panjang masa di Medan. Bersyukur juga aku, dalam masa yang agak suntuk untuk aku merancang aku bertemu dengan laman sesawang Lovely Holidays, mendoakan inilah yang terbaik, aku mewar-warkan kepada rakan-rakan bahawa kami harus memilih agensi untuk untuk pengembaraan kami.. :)) Kakak-kakak aku tidak banyak karenah, kerana apa jua yang aku putuskan mereka tidak membantah pun (senang berurusan).

Tempahan travel di Medan, dan penambahan kilogram bagasi kami dibuat seminggu lebih awal, semuanya diatur dengan cukup baik sekali, dan aku merasakan pengembaraan kali ini pasti tidak dapat dilupakan, dan aku berdoa agar yang pertama kali mengikuti kami berasa gembira dengan trip kali ni, dan bersetuju merancang mengikuti kami lagi insyaAllah tahun hadapan.

Dan seperti biasa jadual yang aku rancang memberi peluang untuk yang hanya suka berjalan menikmati panorama ciptaan Ilahi (seperti aku), dan memberi peluang untuk rakan-rakan yang lain yang suka membeli-belah... :) all in one!!

Wednesday, February 22, 2012

Catatan 2012

Tahun 2012, membawa agenda baru dalam kalendar aku.. jeng jeng jeng..

Untuk pertama kalinya dalam hidup aku, aku membuat keputusan sendiri, dan bakal menghadapi apa jua ombak, onak dan duri yang bakal mendatang!

Bukan senang membuat keputusan untuk bekerja di Kuala Lumpur, dan kemudian kembali semula ke Kuantan, namun aku merasakan itulah hala tuju terbaik! Aku kini lebih tenang dan kurang tertekan dengan keadaan sekeliling, kerana aku sudah nekad untuk mengharungi apa jua yang akan terjadi, atau telah terjadi.

Adakah aku menyesal berhenti kerja di Kuantan sebelum ke KL? (kerana kini aku di Kuantan kembali), jawapan aku cukup mudah - TIDAK sama sekali!. Aku percaya kepada Takdir Allah SWT, dan aku percaya kepada setiap yang berlaku merupakan yang terbaik, dan hikmah yang tidak ternilai dari Yang Maha Esa untuk insan bernama aku.. betapa leganya kerana atas bantuan Allah SWT tindakan untuk berhenti adalah yang terbaik!

Siapa sangka, tindakan aku berhenti sebenarnya telah membawa aku melepaskan diri dari belenggu-belenggu kesengsaraan emosi (depression), baru aku sedari bahawa dunia ini terbentang dengan luas sebenarnya. Rezeki ada dimana-mana. Terlalu banyak peluang dan orang yang lebih menghargai bakat aku di luar sana.. semasa di tempat kerja lama, aku dibelenggu dengan kata-kata yang mengatakan kerjaya aku hanya setakat itu sahaja, tidak layak untuk apa jua kenaikan (menurut kata syarikat), bila aku hadir temuduga untuk bekerja di syarikat lain, jawapan yang sama juga aku terima, sehinggakan perlahan-lahan perasaan putus asa menguasai diri.

Aku putus asa dan menyalahkan ketidakadilan dunia, akhirnya Allah SWT menyedarkan aku (wake up call), pada suatu malam ketika Mak dan Abah aku nyenyak tidur, aku memerhatikan wajah kedua ibubapaku. Masa itu baru aku sedari yang laluan hidup aku panjang lagi, aku perlu teruskan perjuangan untuk keluarga aku, aku perlu harungi untuk memberi teladan kepada golongan yang tidak bernasib baik seperti aku. Aku bersyukur sangat-sangat diberi peluang oleh Yang Maha Esa dan dipinjamkan dimuka bumi ini untuk menghargaiNya.

Kini aku kembali ke Kuantan, walaupun tidak semewah mana, namun falsafah aku bahawa duit itu hanya penting untuk kelangsungan hidup (survival), ianya tidaklah segala-galanya buat aku. Aku cukup bahagia kini, tidak lagi takut-takut dalam meluahkan pendapat, tidak lagi ragu-ragu dalam mengatur langkah, kerana aku tiada apa-apa untuk digusarkan. Kerana Allah SWT sentiasa ada bersama aku dalam mengharungi cabaran ini. Aku lebih bahagia bila melihat orang disekeliling aku gembira, aku cukup seronok bila usikan aku pada keluarga menjadi, aku seronok bermanja dengan Abah dan melayan karenah Mak. Peliknya kini, hikmah tak terhingga yang Allah SWT berikan pada aku, aku tidak lagi rasa tertekan dengan kehidupan sehari-hari kini. Aku lebih tenang.. hari-hari bagi aku ialah satu bab helaian mukasurat yang baru, dan bagaikan seekor kucing yang sentiasa curiga. Aku tidak sabar untuk bangun keesokkan harinya dan menanti cabaran yang baru.. Kelakar bukan?! tetapi itulah hakikatnya. Bila kita kembali kepada Pencipta, dan kita tidak putus berdoa dan memohon dariNya, Dia tidak pernah melupakan kita. Hanya kita yang gagal menghargai setiap takdir yang dirangka untuk kita.

Ternyata aku lebih ceria dan bersemangat dalam merencana perjalanan hidup aku.. kepada keluarga, rakan-rakan dan sesiapa yang membaca blog ini, doakan aku tabah dalam mengharungi hari-hari yang mendatang, dan doakan langit untuk aku sentiasa cerah, amin!