Monday, April 8, 2013

Kalau Takut Dilambung Ombak, Janganlah Berumah Di Tepi Pantai....

"Kalau takut dilambung ombak, janganlah berumah ditepi pantai"

Ungkapan tersebut amat tepat sekali untuk aku. Suatu ketika dahulu, aku pernah bergelar juara kebangsaan, memenangi pelbagai kejuaraan, pernah menduduki senarai terbaik Malaysia, pernah duduk seiring di podium bersama Juara Dunia ketika itu.. Tapi itu cerita lama, cerita tahun 1990-an sebelum aku berkata sayonara sebaik kembali daripada kejohanan Catur Olimpiad di Armenia tahun 1996.

Kenapa tetiba gantung papan? Saat itu aku celaru sebenarnya.. masa aku tengah peak tahun 1995 dulu, aku memang sibuk, cuti semester aku habiskan dengan bermain catur, waktu lain aku sibuk dengan kuliah pula, sehingga masa untuk berdating dengan boyfriend pada masa tu rasa terbatas. Semasa bercinta dulu, aku memang fokus kat si dia, rindu tu jangan cakap la. Dah le dia jauh di mata. Tapi tu semua cerita lama, aku dan dia dah lama putus.. tiada jodoh antara kami (nantilah aku cerita kalau dah takdir untuk aku menulis).

Semasa di Armenia, aku tak tau kenapa fikiran aku terlalu kusut, seolah-olah hati aku tak ada kat sana, cuma jasad aku sahaja. Apa yang aku gerakkan semua tak menjadi, permainan aku terlalu teruk. Bila aku kalah aku jadi semakin menyalahkan diri. Aku rasa aku menghampakan Malaysia. Aku kalah tanpa berjuang. Dan sebaik pulang di Malaysia, dalam keadaan yang masih lagi kusut, aku membaca komen permainan aku, rata-rata ruangan catur di semua akhbar (pada masa tu), menafsirkan permainan aku terlalu teruk, buruk dan lemah. Cara mereka menulis seolah-olah aku tak layak langsung ke Armenia.. huhu. Kecewa aku bukan kepalang. Sejak hari tu aku menjauh hati untuk bermain catur, jangankan nak kata main, sentuh buah catur pun tidak. Tetiba aku trauma. Bila aku sentuh je buah catur tu, aku akan sebak.

Tapi selepas lebih kurang 10 tahun kemudian, aku kembali semula ke arena catur, tapi dengan hala tuju yang berbeza. Aku cuma nak latih budak lain untuk bermain dengan lebih baik. Niat aku satu, aku bukan nak lahirkan juara (kalau dapat tu satu bonus untuk aku dan dia), tapi lebih kepada untuk fokus dalam pelajaran. Dapat keputusan yang memberangsang dalam pelajaran. Kemudian daripada bidang jurulatih, aku kembangkan ke bidang pengadilan (arbiter), seterusnya ke bidang pengurusan pertandingan (tournament director). Sepanjang 2006 - 2013 (jan-feb) itulah yang aku lakukan..

Kini selepas pelbagai insiden (sila rujuk cerita sebelum ini, malas nak bagi link..korang cari lah sendiri aci tak :D) aku menukar hala tuju aku lagi. Aku nak fokus kepada pembangunan pemain baru, dan untuk diri sendiri. Pengurusan pertandingan aku buat bila perlu sahaja (kali ni dah tak ada all-in-one, kali ni bila buat aku akan upah orang lain, dah malas nak berjimat cermat dah). Jadi arbiter bila kawan-kawan minta tolong sahaja. Selebihnya adalah untuk coaching and playing.. (chewah!)..hahaha

Jadi sejak bulan March 2013 aku berazam untuk menyertai sekurang-kurangnya satu pertandingan catur sekali setiap bulan (insyaAllah). Kejohanan pertama ialah Terbuka Beliawanis di Shah Alam pada 24hb Mac lepas. Yang terkini ialah Kedah Open di Sungai Petani pada 6-7 April yang lepas. Walaupun aku kurang bersedia (kalau nak ikutkan bersedia, memang sentiasa tak bersedia la jawabnya, tapi kalau tak mula sekarang bila lagi nak mula kan?), aku redah je main rapid dan blitz tu, sambil tu aku nak kekalkan silaturrahim dengan kawan-kawan yang bersama-sama aku di Arau dulu. Dah lama tak jumpa.. seronok bukan kepalang dapat bertemu kembali dengan kawan-kawan lama.. aku cukup happy dan gembira sangat.. Alhamdullillah.. Allah SWT masih lagi memberi peluang untuk aku bertemu mereka.. insyaAllah kita akan jumpa lagi selepas ini..

Berbalik pasal cerita chess aku ni. Aku ulang semula ye "Kalau Takut Dilambung Ombak, Jangan Berumah Di Tepi Pantai" Aku main teruk sangat, buah menang tak reti nak menang. Kalau dah kalah tu confirm la kalah. Berkarat betul! hahaha.. tu belum masuk aku terlalu penat, sampai aku tertidur, leka, khayal dan tak sedar kalah masa. Nak harung 6 pusingan dalam satu hari, memang memenatkan. Tak cukup stamina (confirm kena cari masa bersenam ni). Game round 6 tu aku akui di awal mainan aku memang tolak-tolak buah je.. dah tak larat sangat dah nak fikir. Ibarat macam ni la, kalau korang penat sangat nak berjalan, korang dah sampai tahap seret kaki la penat tu. Nah ko, terkena aku! spontan keluar perkataan "Oh Shit!" Sorry ye anak, makcik tak bermaksud kat anak ye.. Dah terkena baru nak struggle, memang bergelut dengan masa la.. akhir, terpaksa jua menyerah kalah..huhuhu..

Keesokan hari aku masih lagi penat, badan dah penat, tapi gagah jua nak bersembang dengan kawan-kawan. Mohon pada Allah SWT agar tidur lena dan badan fresh untuk bertarung hari esoknya. Hari esok, pun terkena lagi! Alamak! melepas hadiah kedua terbaik wanita...huhu dua lagi pusingan tu menang lah, sebab lawan dengan orang meja belakang.. huhu.. Masa main blitz pun kalau ikutkan aku tak larat juga, tapi dah alang-alang menyeluk pekasam, main je la kan.. jadi budak belasahan betul la..hahaha

Dah bersedia daripada segi mental dan emosi, sebab tau confirm selepas ini teruk aku akan kena kutuk. Aku kena redha dan menerima dengan hati terbuka. Aku yakin dan pasti Allah SWT ada perancangan istimewa untuk aku. Kekalahan aku ialah hikmah yang Allah SWT bagi. Aku kena terima dan belajar untuk menjadi lebih baik daripada semalam. Sewajarnya semasa aku buat keputusan untuk main aku dah tau jalan untuk aku tempuh sentiasa penuh berliku. Kalau dulu aku boleh buat, takkan sekarang aku tak boleh kan? bezanya dulu aku muda remaja, kini aku semakin di injak usia.. (jadinya kena work smart la kan..hehehe)

Tapi adakah aku berputus asa? oh tidak! baru satu kejohanan dan penuh dengan kritikan pedas, mustahil untuk aku mengalah!

"Everyday is a learning process"
"Kalah menang adat bertanding"

Aku teruskan rutin menelaah catur setiap malam sebelum tidur. Kalau pun aku tak dapat nak luangkan masa berjam-jam, tapi sekurang-kurangnya 30 minit setiap malam pun dah memadai buat masa ini. Sedikit setiap hari lebih baik daripada aku langsung tak buat apa-apa, dan langsung tak dapat apa-apa.

Sunday, April 7, 2013

Hujung Minggu di Sungai Petani, Kedah (6-7 April 2013)

Aku baru kembali dari menyertai kejohanan catur "1st Kedah Open FIDE Rated Rapid dan Blitz" yang diadakan di Cinta Sayang Resort di Sungai Petani, Kedah. Kalau ikutkan aku belum bersedia untuk bertanding, tapi kalau asyik tunggu masa je bila nak bersedia, alamat tak main lah aku jawabnya. Rasa kempunan pula kalau asyik tangguh-tangguh niat tu. Dah lama juga tak jumpa rakan-rakan sekuliah di Arau yang menetap di Sungai Petani, dan kejiranan Pulau Pinang, jadi aku kena ambil kesempatan ini untuk bertemu mereka, dan melepas gian bermain diatas papan pada 6-7 april baru ini.

Aku bertolak ke Sungai Petani menaiki bas pada Jumaat malam daripada Kuantan (kalau ikutkan memang penat, tapi aku tak ada pilihan, aku baru lagi bekerja, mustahil untuk memohon cuti buat masa ini). Sampai di Sungai Petani pada pagi subuh jam 5.40am pada hari pertandingan. Aku dah biasa tidur walau dimana sahaja aku rasa nak tidur, jadi untuk kata aku penat sangat, aku rasa setakat nak bertahan sehingga round ke-4 bukan lah misi mustahil. Yang menjadi persoalan sekarang ni, boleh ke aku bertahan baki lagi 2 pusingan (round 5 dan 6)? huhuhu. Sampai je di SP, aku menelefon organiser kejohanan. Telefon tak angkat-angkat, "ah, sudah!" getus hati aku, "mesti tidur lewat ni, tak sedar telefon berbunyi". Nak marah pun ada juga, ye lah, dah le kali pertama aku sampai di SP, dengan keadaan gelap gelita dan persekitaran yang asing bagi aku. Nak je aku telefon kawan aku, tapi bila mengenangkan dia tengah sarat mengandung kesian pula, lagipun kami dah janji nak jumpa petang selepas game aku nanti. Aku terus-terusan menelefon Organiser ni. Tak jawab-jawab. Azan subuh dah lama kedengaran. Dek kerana tak nak tinggal solat subuh semata-mata kerana perkara kecil ni, baik la aku ambil tindakan ke Cinta Sayang Resort tu terus. Kebetulan, bas tu drop off penumpang di stesen teksi, aku pun mengambil teksi tu. Nasib baik la uncle keturunan India tu baik orangnya, dia terlalu teruja bertemu dengan orang daripada Kuantan. Peramah betul menceritakan sepanjang 15 tahun hidup di Kuantan, dan menerima kelahiran anak bongsu beliau di Kuantan. Tak sampai 15 min, aku sampai di Resort.

Mencari orang untuk bertanya, alamak! Kenapa tak ada orang kat Resort ni, masa dah suntuk untuk solat ni. Mencari sendiri tempat untuk solat, alahai, nampak signboard jalan tu, tapi gelap gelita la pula untuk menapak. Alhamdullillah, terjumpa pekerja resort tu, buat muka tak malu bertanya "surau kat mana ye?" dia memberitahu arah yang gelap gelita tu. Aku pun cakap la, "gelap nak lalu laluan tu". Kemudian muncul seorang lagi pekerja dengan muka macam baru bangun tido, aku bertanya lagi "saya nak ke surau, laluan ke surau tu gelap, ada tempat lain ke?". Terus dia menelefon walkie talkie, disuruhnya pengawal keselamatan buka lampu. Tak lama selepas itu dia berkata kepada aku, "ikut dia tu" sambil menunjuk arah wanita yang aku mula-mula bertanya soalan tadi. Aku menaiki kereta wanita tersebut untuk ke Surau. Alhamdullillah, Allah SWT permudahkan aku untuk menunai kewaijpan kepadaNya. Syukur sangat-sangat.

Setelah selesai solat, dan berdoa, dan mood kemarahan aku reda, barulah aku berani mengangkat telefon teman sebilik organiser tersebut. Sambil memberitahu aku berada di Surau, dan baru selesai solat.

Phew! badan dah mula terasa penat. Aku gagah menelan makan tambahan untuk memberi tenaga. Hari dah pun siang, jadi agak berani la untuk melangkah ke lobi hotel daripada surau. Sampai sahaja di lobi, sebaik melabuh punggung ke sofa, aku disapa oleh rakan baik dan suaminya yang juga kenalan catur semasa aku dan dia masih dibangku sekolah. Alangkah gembiranya aku. Tak lama selepas itu, Nik dan organiser datang bertandang. Marah dah reda, cuma kena tunjuk juga kemarahan untuk dijadikan pengajaran.. hehehe.. acting skill kena lah tunjuk sikit..hehehe. Jangan buat macam tu lagi no..

Selepas sarapan pagi bersama rakan baik dan suami, kami terus menuju ke dewan kejohanan yang terletak di luar Resort, namun berhampiran iaitu di Carnivall. Dewan kejohanan terletak disitu. Nanti aku ceritakan detik pengalaman sepanjang pertandingan berlangsung dientri selepas ini.. Jeng Jeng Jeng.. hehehe