"Kalau takut dilambung ombak, janganlah berumah ditepi pantai"
Ungkapan tersebut amat tepat sekali untuk aku. Suatu ketika dahulu, aku pernah bergelar juara kebangsaan, memenangi pelbagai kejuaraan, pernah menduduki senarai terbaik Malaysia, pernah duduk seiring di podium bersama Juara Dunia ketika itu.. Tapi itu cerita lama, cerita tahun 1990-an sebelum aku berkata sayonara sebaik kembali daripada kejohanan Catur Olimpiad di Armenia tahun 1996.
Kenapa tetiba gantung papan? Saat itu aku celaru sebenarnya.. masa aku tengah peak tahun 1995 dulu, aku memang sibuk, cuti semester aku habiskan dengan bermain catur, waktu lain aku sibuk dengan kuliah pula, sehingga masa untuk berdating dengan boyfriend pada masa tu rasa terbatas. Semasa bercinta dulu, aku memang fokus kat si dia, rindu tu jangan cakap la. Dah le dia jauh di mata. Tapi tu semua cerita lama, aku dan dia dah lama putus.. tiada jodoh antara kami (nantilah aku cerita kalau dah takdir untuk aku menulis).
Semasa di Armenia, aku tak tau kenapa fikiran aku terlalu kusut, seolah-olah hati aku tak ada kat sana, cuma jasad aku sahaja. Apa yang aku gerakkan semua tak menjadi, permainan aku terlalu teruk. Bila aku kalah aku jadi semakin menyalahkan diri. Aku rasa aku menghampakan Malaysia. Aku kalah tanpa berjuang. Dan sebaik pulang di Malaysia, dalam keadaan yang masih lagi kusut, aku membaca komen permainan aku, rata-rata ruangan catur di semua akhbar (pada masa tu), menafsirkan permainan aku terlalu teruk, buruk dan lemah. Cara mereka menulis seolah-olah aku tak layak langsung ke Armenia.. huhu. Kecewa aku bukan kepalang. Sejak hari tu aku menjauh hati untuk bermain catur, jangankan nak kata main, sentuh buah catur pun tidak. Tetiba aku trauma. Bila aku sentuh je buah catur tu, aku akan sebak.
Tapi selepas lebih kurang 10 tahun kemudian, aku kembali semula ke arena catur, tapi dengan hala tuju yang berbeza. Aku cuma nak latih budak lain untuk bermain dengan lebih baik. Niat aku satu, aku bukan nak lahirkan juara (kalau dapat tu satu bonus untuk aku dan dia), tapi lebih kepada untuk fokus dalam pelajaran. Dapat keputusan yang memberangsang dalam pelajaran. Kemudian daripada bidang jurulatih, aku kembangkan ke bidang pengadilan (arbiter), seterusnya ke bidang pengurusan pertandingan (tournament director). Sepanjang 2006 - 2013 (jan-feb) itulah yang aku lakukan..
Kini selepas pelbagai insiden (sila rujuk cerita sebelum ini, malas nak bagi link..korang cari lah sendiri aci tak :D) aku menukar hala tuju aku lagi. Aku nak fokus kepada pembangunan pemain baru, dan untuk diri sendiri. Pengurusan pertandingan aku buat bila perlu sahaja (kali ni dah tak ada all-in-one, kali ni bila buat aku akan upah orang lain, dah malas nak berjimat cermat dah). Jadi arbiter bila kawan-kawan minta tolong sahaja. Selebihnya adalah untuk coaching and playing.. (chewah!)..hahaha
Jadi sejak bulan March 2013 aku berazam untuk menyertai sekurang-kurangnya satu pertandingan catur sekali setiap bulan (insyaAllah). Kejohanan pertama ialah Terbuka Beliawanis di Shah Alam pada 24hb Mac lepas. Yang terkini ialah Kedah Open di Sungai Petani pada 6-7 April yang lepas. Walaupun aku kurang bersedia (kalau nak ikutkan bersedia, memang sentiasa tak bersedia la jawabnya, tapi kalau tak mula sekarang bila lagi nak mula kan?), aku redah je main rapid dan blitz tu, sambil tu aku nak kekalkan silaturrahim dengan kawan-kawan yang bersama-sama aku di Arau dulu. Dah lama tak jumpa.. seronok bukan kepalang dapat bertemu kembali dengan kawan-kawan lama.. aku cukup happy dan gembira sangat.. Alhamdullillah.. Allah SWT masih lagi memberi peluang untuk aku bertemu mereka.. insyaAllah kita akan jumpa lagi selepas ini..
Berbalik pasal cerita chess aku ni. Aku ulang semula ye "Kalau Takut Dilambung Ombak, Jangan Berumah Di Tepi Pantai" Aku main teruk sangat, buah menang tak reti nak menang. Kalau dah kalah tu confirm la kalah. Berkarat betul! hahaha.. tu belum masuk aku terlalu penat, sampai aku tertidur, leka, khayal dan tak sedar kalah masa. Nak harung 6 pusingan dalam satu hari, memang memenatkan. Tak cukup stamina (confirm kena cari masa bersenam ni). Game round 6 tu aku akui di awal mainan aku memang tolak-tolak buah je.. dah tak larat sangat dah nak fikir. Ibarat macam ni la, kalau korang penat sangat nak berjalan, korang dah sampai tahap seret kaki la penat tu. Nah ko, terkena aku! spontan keluar perkataan "Oh Shit!" Sorry ye anak, makcik tak bermaksud kat anak ye.. Dah terkena baru nak struggle, memang bergelut dengan masa la.. akhir, terpaksa jua menyerah kalah..huhuhu..
Keesokan hari aku masih lagi penat, badan dah penat, tapi gagah jua nak bersembang dengan kawan-kawan. Mohon pada Allah SWT agar tidur lena dan badan fresh untuk bertarung hari esoknya. Hari esok, pun terkena lagi! Alamak! melepas hadiah kedua terbaik wanita...huhu dua lagi pusingan tu menang lah, sebab lawan dengan orang meja belakang.. huhu.. Masa main blitz pun kalau ikutkan aku tak larat juga, tapi dah alang-alang menyeluk pekasam, main je la kan.. jadi budak belasahan betul la..hahaha
Dah bersedia daripada segi mental dan emosi, sebab tau confirm selepas ini teruk aku akan kena kutuk. Aku kena redha dan menerima dengan hati terbuka. Aku yakin dan pasti Allah SWT ada perancangan istimewa untuk aku. Kekalahan aku ialah hikmah yang Allah SWT bagi. Aku kena terima dan belajar untuk menjadi lebih baik daripada semalam. Sewajarnya semasa aku buat keputusan untuk main aku dah tau jalan untuk aku tempuh sentiasa penuh berliku. Kalau dulu aku boleh buat, takkan sekarang aku tak boleh kan? bezanya dulu aku muda remaja, kini aku semakin di injak usia.. (jadinya kena work smart la kan..hehehe)
Tapi adakah aku berputus asa? oh tidak! baru satu kejohanan dan penuh dengan kritikan pedas, mustahil untuk aku mengalah!
"Everyday is a learning process"
"Kalah menang adat bertanding"
Aku teruskan rutin menelaah catur setiap malam sebelum tidur. Kalau pun aku tak dapat nak luangkan masa berjam-jam, tapi sekurang-kurangnya 30 minit setiap malam pun dah memadai buat masa ini. Sedikit setiap hari lebih baik daripada aku langsung tak buat apa-apa, dan langsung tak dapat apa-apa.
No comments:
Post a Comment