Abah dah lama menyebut ke Kuching. Sebab utama nak kesana bukan sebab apa pun, aku kenal sangat dengan Abah. Kuching ialah alasan terbaik untuk menaiki kapal terbang!
Lepas habis belajar, aku balik ke Kuantan untuk bekerja. Walaupun gaji aku terlalu kecil (RM400 sebulan), tetapi aku menaruh harapan dan keyakinan yang budak lulusan ijazah seperti aku pasti akan dapat pekerjaan lain dengan gaji yang lebih tinggi asalkan aku ada pengalaman sahaja! (tapi tulah.. harapan tinggal harapan je la). Aku berjanji dengan mak "bagi aku tempoh tiga tahun akan aku tunaikan hajat, insyaAllah". Daripada 3 tahun, aku berjanji pada diri aku untuk lagi 3 tahun, then lagi 3 tahun. dan lagi.. Tapi Allah SWT tu Maha Kaya, akhirnya doa aku makbul pada tahun 2011 ini. Alhamdullillah!
Aku menunaikan hajat mak dengan membelinya gelang emas. Walaupun mak kadang-kadang ingat lupa bahawa aku membelinya gelang tangan tersebut, namun aku bersyukur kerana aku masih berpeluang menunaikan janji aku pada Mak.
Selepas aku berpeluang tunaikan hajat mak, aku berazam untuk tunaikan hajat Abah pula. Duit tidaklah sebanyak mana, tetapi betullah! kalau kita niatkan untuk berbakti pada ibu dan bapa, duit akan sentiasa cukup! Alhamdullillah.. mula-mula aku membeli tiket air asia, sebaik aku balik dari Ho Chi Minh. Maklum le Air Asia - Everyone can fly lah katakan. Tiket pergi balik Kuching dengan tambang RM367 untuk dua orang dengan berat kilo pergi sahaja 15kg. Dah beli tiket aku agak lega kerana fasa pertama untuk tunaikan hajat tercapai. Abah agak teruja kerana kali ini aku bakal kotakan janji (maklum le berjanji banyak kali, tapi ada je aral melintang sampaikan passport yang Abah beli pun luput tarikh kerana aku tidak berjaya tunaikan janji, kesian kat Abah). Abah menghitung hari di kalendar, malah berangan-angan nak membeli tikar lah, selimut lah.. aku tersenyum sahaja mendengar, sambil-sambil tu aku berdoa, Ya Allah, panjangkan usia kedua ibubapa aku, berilah aku kesempatan tunaikan hajat mereka, amin!.
Bermula bulan April, aku mulakan operasi merancang perjalanan untuk trip ke Kuching ini. Kebetulan Allah swt takdirkan aku murah rezeki, aku pun tak paham juga macamana, tetapi duit aku yang seberapa itu memang sentiasa cukup je. Syukur ke hadrat Ilahi! Aku "burn" je tiket balik dari Kuching ke KL. Aku membeli tiket Firefly dari Kuching ke KL, dan membeli tiket KL - Kuantan menaiki MAS. Aku terpaksa upah Travel Agency untuk beli tiket, sebab aku tiada kredit kad. Aku bayar je kos RM728 untuk tambang balik ni (wah! macam orang kaya je aku berbelanja, hahaha). Masa tu aku tutup mata je tengok duit aku keluar macam tu je. Tetapi aku tekadkan azam untuk bagi Abah yang terbaik! Lagipun selagi hayat dia ada, dan selagi aku mampu.
Lepas settled tiket, aku rancang membeli beg untuk berjalan ke Kuching. Di sebabkan aku lah yang akan angkut semua barang-barang Abah dan aku, maka aku kena beli beg yang lebih besar sedikit. Aku membeli beg jenama Camel (kak Ngah berkenan tengok beg ini) untuk muatan berat 30kg berharga RM224 di sebuah kedai di Berjaya Megamall. Misi beli beg berjaya! ok, apa lagi selepas ini.
Misi untuk "survey/surf/search" tempat-tempat menarik di Kuching pun bermula lah. Aku rajin google tempat-tempat menarik dan berjumpa dengan cuti di kuching. Dan beberapa blog lain berkenaan pengalaman di Kuching. Dalam seminggu jugalah aku mengambil masa untuk buat keputusan hala tuju di Kuching nanti.
Semakin hampir tarikh ke Kuching, Abah semakin teruja. Aku sebenarnya agak bimbang. Kerana sebelum aku membeli tiket ke Kuching aku membuat tawaran kepada Abang Long, Kak Ngah dan Kak De kalau mereka berminat untuk membawa Abah ke sana, aku sponsor tiket dan penginapan. Namun tiada seorang pun berminat. Abang Long memang lah nak pergi, tetapi dia nak bawa anak isteri pulak! Aku tak berkenan la, sebab bila bawa anak isteri pastinya keperluan Abah tidak terjaga, sedangkan trip ke Kuching ini adalah untuk tunaikan hajat Abah. Kak De memang tak sanggup. Aku paham la kenapa, sebab Kak De aku ni memang lagi kecik daripada Abah, jadi mana mungkin dia larat untuk memikul beg-beg dan pada masa yang sama menjaga Abah. Disebabkan tiada maklum balas, maka aku pun membeli tiket atas nama aku dan Abah.
Masalah yang merunsingkan aku ialah siapa nak jaga Mak sepanjang aku dan Abah di Kuching nanti. Risau betul! Kalau Abang Long ke Kak Ngah ke nak ke Kuching kan senang, tiada masalah, sebab aku boleh ambil cuti untuk jaga Mak. Adik beradik aku ni pelik sikit, bab-bab jaga orang tua, tidak berapa nak berebut ambil pahala. Allah SWT dah kata rezeki murah kalau jaga orang tua (ambil contoh aku dah la.. rezeki sentiasa cukup alhamdullillah!). Disebabkan Abang Long memberikan respon bersahaja "hantar je lah Mak". Hantar?? kenapa tidak ambil sahaja Mak? Teruja lah sikit nak ambil pahala berbakti pada orang tua tu. Pada aku la, bila orang tua kita tak sihat, mungkin bukan ujian untuk orang tua kita, mungkin Allah SWT bagi ujian untuk anak-anaknya.. Tu belum jawapan abang ipar aku lagi.. terasa tul! sampaikan tak lena tidur aku memikirkannya. Kebetulan dalam jiwa aku yang tak tenteram ni, aku kekedai buku, niat untuk beli file e-filing aku, tetiba je kat depan mata aku ada buku "tanggungjawab anak kepada ibubapa". Aku pelik, macamana buku ni boleh ada depan mata aku. Aku amati tempat dimana buku itu berada, betul-betul bukan bahagian agama. Agaknya takdir untuk aku beli. Tanpa membelek, aku terus beli, sebab mana tau, buku ini boleh mengubat keluh resah aku selepas kata-kata abang ipar aku. Aku menangis di setiap muka surat aku membaca buku tersebut. Terasa betul! betapa selama ini, bakti aku pada mak dan abah terlalu sedikit. Aku terbaca part "orang tua, bukan setakat anak bagi duit, tanya khabar tetapi hiburkan lah hatinya". Tang ni, aku menangis dan berazam untuk bagi yang terbaik untuk Abah pada trip ke Kuching ini.
Kak De tak ada aktiviti, jadi dia setuju untuk menjaga Mak cuma isnin malam sahaja kena hantar mak ke rumah Abang Long. Cuma kesian kat kak De tak boleh nak kemana-mana. Ke Kedai berhampiran untuk membeli lauk, balik-balik rumah je Mak menangis. Jadi kak De tak berani nak keluar rumah. Aku cakap kat Kak De, sabar lah, sebab orang bila dah jadi tua, perangai akan jadi macam budak-budak. Kak De agak bengang sebab Kak Ngah (tapi, ye lah, anak perempuan kalau dah kahwin, suami tak izinkan takleh nak kata apa la) atau Abang Long tak ada pun datang kerumah jenguk mak, belikan lauk ke atau ambil giliran jaga Mak walau sebentar. Aku tau, kalau jaga mak memang alamat tak tidur la. Sebab hari-hari bekerja biasa pun aku biasa tidur jam 2 atau 3 pagi, sebab waktu-waktu sebelum jam tersebut mak biasanya akan bangun berulang kali ketandas.
Sebelum menaiki Kapal Terbang, aku minta pada Abah, maafkan segala kesalahan Mak, kesemua anak-anak Abah, cucu-cucu Abah. Halalkan makan minum kami semua. Dalam mood baik sebegitu, Abah maafkan dan halalkan. Aku bersyukur berulang-ulang kali. Alhamdullillah! amin-amin Ya Rabbal Alamin!
No comments:
Post a Comment